Mengenai George Town World Heritage Incorporated

MENGENAI GEORGE TOWN WORLD HERITAGE INCORPORATED

George Town World Heritage Incorporated merupakan sebuah agensi yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 21 April 2010 untuk menerajui usaha bagi memelihara Nilai Keunggulan Sejagat Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Dengan mendukung matlamat memulihara dan melindungi warisan ketara dan warisan tidak ketara di George Town, pasukan George Town World Heritage Incorporated merupakan kumpulan professional yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan pelbagai bidang kepakaran yang menumpukan kepada usaha-usaha untuk mengurus, memulihara dan mempromosi George Town sebagai bandar warisan yang mampan.

Kami berhadapan dengan cabaran dalam memelihara lebih daripada 5,000 bangunan warisan di dalam tapak warisan dunia ini, penggunaan semula ruang dan memelihara warisan hidup, termasuk yang terletak di luar Tapak Warisan Dunia. Kami juga berusaha mempromosi warisan kebudayaan di sekolah, melibatkan penyertaan belia dalam program yang dianjurkan, melaksanakan pengurusan risiko bencana, pemuliharaan kediaman di George Town, pemuliharaan kertas dan objek, dan bantuan pertolongan cemas untuk warisan budaya yang dalam keadaan kecemasan.

Untuk mempromosikan pendidikan warisan budaya dan meningkatkan pembangunan kapasiti, kami bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk mengadakan bengkel, persidangan, pameran dan perayaan warisan, pada masa yang sama kami juga menggalakkan penyertaan awam dalam usaha pemuliharaan Tapak Warisan Dunia.

Tugasan ini dilaksanakan melalui lebih kurang 50 jenis program dan projek setiap tahun dengan memperolehi tajaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dengan kerjasama UNESCO seperti Pusat-pusat Kategori Dua di bawah naungan UNESCO serta rakan kongsi yang lain. 

Kami juga menyediakan perkhidmatan konsultasi secara percuma kepada pemilik-pemilik bangunan warisan, arkitek dan kontraktor mengenai kaedah pembaikan dan pemuliharaan bangunan warisan yang bersesuaian, menjalankan bengkel-bengkel pembangunan kemahiran serta menyediakan informasi tentang Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Selain daripada usaha penyampaian, kami juga mengendalikan inventori, dokumentasi dan projek-projek penyelidikan.  

Kunjungan daripada institusi pendidikan, organisasi, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan warisan lain juga dialu-alukan bagi berkongsi pengalaman serta mempelajari mengenai pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

LOGO KAMI

Logo George Town World Heritage Incorporated diilhamkan daripada kaki lima, iaitu ciri penting bagi rumah kedai yang menunjukkan seni bina bandar bersejarah George Town. Rumah kedai juga merupakan antara Nilai Keunggulan Sejagat bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Logo George Town World Heritage Incorporated dirasmikan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng pada 7 Julai 2010 sempena sambutan ulang tahun ke-2 Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

PUSAT INTERPRETASI

Pusat Interpretasi George Town World Heritage Incorporated terletak di Tingkat 1, Armenian Street Heritage Hotel, yang terletak berhadapan dengan pejabat kami. Pada 25 Jun 2014, George Town World Heritage Incorporated telah menubuhkan Pusat Interpretasi yang berfungsi sebagai pusat sumber yang dibuka kepada orang awam serta menempatkan studio pemuliharaan kertas yang mengendalikan kerja-kerja pemuliharaan dokumen-dokumen lama. 

Koleksi bahan bacaan buku, jurnal dan majalah serta bahan media seperti rakaman dan video yang boleh diakses oleh pelajar, penyelidik dan orang awam juga terdapat di Pusat Interpretasi ini.

ANUGERAH PEJABAT HIJAU PULAU PINANG

George Town World Heritage Incorporated telah dianugerahkan oleh Penang Green Council sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang pada bulan September 2018. Penganugerahan ini adalah sah selama 2 tahun. Kami berusaha bersungguh-sungguh bagi mengurangkan bahan buangan dan mengitar semula bahan buangan pejabat agar dapat mengurangkan pembebasan gas karbon.