Pendidikan

PROGRAM PENDIDIKAN WARISAN BUDAYA

PROGRAM PENDIDIKAN WARISAN BUDAYA

Program Pendidikan Warisan Budaya (Cultural Heritage Education Programme atau CHEP) telah dilancarkan pada 19 November 2016 oleh George Town World Heritage Incorporated dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Pulau Pinang (Arts-ED), iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memainkan peranan untuk mempromosi kebudayaan warisan tempatan kepada generasi muda melalui program pendidikan yang kreatif. Program CHEP ini bertujuan untuk melibatkan golongan muda, masyarakat setempat, pendidik dan agensi kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan warisan yang lestari bagi menghadapi cabaran abad ke 21. 

Program ini merupakan modul pendidikan yang berdasarkan konsep warisan budaya lestari untuk mendidik dan menggalakkan generasi muda yang berumur antara 10 tahun hingga 17 tahun agar menghayati budaya dan menghubungkan persekitaran mereka. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah amat menarik dan teratur agar dapat membantu generasi muda untuk menghargai, memahami dan mentafsirkan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town melalui pelbagai tahap penyertaan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh disertai oleh para pelajar adalah permainan tradisional (Wa Wa Warisan), Eksplorasi Jejak Warisan yang Bertema (Thematic Heritage Exploration Trails), Kraftangan (School of Craft), Makanan tradisi dan bahan-bahan tempatan (You Think You Can Masak) dan Bengkel Seni Kreatif di Tapak Warisan Budaya (Youth Arts Camp).

Pada 9 November 2018, Sekolah Budaya Warisan telah dilancarkan untuk mempromosi dan menyebarkan warisan budaya dengan menerapkan pengajaran warisan budaya dalam kokurikulum sekolah. Terdapat beberapa buah sekolah menengah di Pulau Pinang yang telah dijadikan sebagai sekolah contoh bagi mempromosi dan melaksanakan pendidikan warisan budaya yang lebih dinamik, kreatif dan lestari di dalam dan di luar suasana pembelajaran sekolah. Antara sekolah yang mempamerkan hasil usaha mereka semasa pelancaran ini adalah SMK Air Itam (MyPenangHill – Tanah Runtuh (Landslide) dan  SMK Abdullah Munshi (Getaran Jiwa – Mesej Utama Filem P. Ramlee).

Ketahui lebih lanjut tentang program melalui Facebook and YouTube.

Untuk maklumat lanjut mengenai CHEP, sila hubungi Puan Chuah Ai Kheng, Pengurus Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Warisan Kebudayaan, di talian 04-261 6606 atau emel kepada akchuah[at]gtwhi[dot]com[dot]my, atau hubungi Arts-Ed melalui emel chep[dot]penang[at]gmail[dot]com.