Tapak

TAPAK

Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (dan juga di luar tapak) adalah tempat yang mempunyai keistimewaan tersendiri dengan nilai warisan yang luar biasa yang memerlukan usaha pemuliharaan atau menaiktaraf dan rejuvenasi bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk penghargaan terhadap warisan budaya kita.

SIA BOEY

Tapak Sia Boey pernah menjadi pusat pelabuhan perdagangan yang sangat sibuk serta mempunyai kepentingan yang amat bermakna kepada penduduk Pulau Pinang. George Town World Heritage Incorporated dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang akan mengembalikan tapak Sia Boey ke zaman kegemilangannya dengan menggabungkan pembangunan dan pemuliharaan warisan yang terdapat di tapak ini. 

Projek Rejuvenasi Sia Boey yang dilancarkan pada 25 Mac 2018 merangkumi pemulihan Terusan Prangin, pemuliharaan Pasar Prangin dan penaiktarafan landskap. Tapak ini akan dibangunkan semula dan dipulihara di samping memberi keutamaan kepada penggunaan semula bangunan warisan dan menyediakan ruang awam yang cukup. 

Melalui pelan pengurusan bersepadu, Sia Boey dirancang supaya dinaiktaraf sebagai hab pengangkutan, kawasan hijau, serta pusat kesenian dan kebudayaan untuk komuniti tempatan.

Sia Boey merupakan antara tapak arkeologi yang terbesar di George Town selepas penemuan struktur granit pada tahun 2016 yang dianggap sebagai Terusan Prangin Lama.

KOTA CORNWALLIS

Kota Cornwallis merupakan sebuah kubu berbentuk bintang menghadap ke pantai George Town yang dibina oleh Syarikat India Timur bagi menandakan kewujudan Era Kolonial British. Pada mulanya, Kota Cornwallis merupakan sebuah kubu pertahanan daripada ancaman lanun dan pencerobohon, kini tapak ini dikategorikan sebagai tapak warisan Kategori I dan merupakan pusat tarikan pelancong. 

George Town World Heritage Incorporated sentiasa berusaha memastikan tapak warisan ini dijaga baik, dengan kerja penggalian yang sedang dijalankan bagi merungkai penemuan struktur parit asal yang mengelilingi kubu serta kerja pemuliharaan struktur kubu. Projek ini merupakan inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga usaha pemulihan ketulenan dan kepentingan warisan Kota Cornwallis seperti yang dinyatakan di dalam Pelan Pengurusan Pemuliharaan bagi Fort Cornwallis.

Pada 19 Februari 2018, dua buah meriam bersejarah yang dipercayai berusia lebih daripada 200 tahun ditemui semasa kerja penggalian parit dan sembilan butir peluru meriam juga ditemui di dalam petak yang sama pada 26 hingga 28 Februari 2018. Hasil penemuan telah dialihkan ke Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia untuk tujuan pemuliharaan.

Setelah hampir setahun, iaitu pada 27 Januari 2019, sebuah meriam dan mortar yang dipercayai berusia lebih daripada 200 tahun pula telah dijumpai. Pasukan arkeologi Universiti Sains Malaysia akan mengendalikan kerja pemuliharaan dan analisis lanjut ke atas meriam dan mortar tersebut. Sementara itu, kerja arkeologi masih diteruskan di tapak Kota Cornwallis.

TAPAK PERKUBURAN PROTESTAN

Tapak Perkuburan Protestan di Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town dikenalpasti sebagai tapak warisan Kategori I di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Perkuburan ini dan Perkuburan Roman Katolik yang bersebelahan telah dibuka selepas Syarikat Hindia Timur Inggeris membuka penempatan di Pulau Pinang pada tahun 1786. Pengebumian terawal yang tercatat adalah pada tahun 1787 dengan kematian William Murray yang juga menunjukkan bahawa tapak perkuburan ini digunakan tidak lama kemudian selepas ketibaan Kapten Francis Light di Pulau Pinang. Pada masa itu, tapak ini masih berada di tanah separa berpaya di luar kawasan bandar.

Tapak perkuburan ini merupakan tempat persemadian bagi tokoh-tokoh termashyur yang mempunyai kaitan dengan penempatan awal dan pembangunan awal George Town dan Pulau Pinang, termasuklah pengasasnya Kapten Francis Light, gabenor, pegawai kerajaan Syarikat Hindia Timur dan peniaga-peniaga.

George Town World Heritage Incorporated telah menjalankan kerja-kerja memulihara dan membaikpulih kubur dan inskripsi pada batu nisan serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tanah perkuburan berkenaan sejak tahun 2013, dengan 300 buah daripada 432 buah kubur yang terdapat di tanah perkuburan ini telah dibaikpulih sehingga Disember 2018. Kerja-kerja pemuliharaan dan baikpulih ini adalah bagi memastikan tanah perkuburan ini dilindungi daripada kerosakan dan kemusnahan.

GUAR KEPAH

Guar Kepah terletak di tanah besar Pulau Pinang dan ianya terkenal sebagai tinggalan tapak Zaman Batu terawal di Malaysia. Tapak ini telah menarik perhatian orang ramai apabila rangka manusia pra-sejarah yang dikatakan berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun telah ditemui pada bulan April 2017. 

George Town World Heritage Incorporated bertindak sebagai badan penasihat  bagi Tapak Arkeologi Guar Kepah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara dan berperanan untuk memberikan khidmat nasihat mengenai prosiding penyenaraian Guar Kepah sebagai Tapak Warisan Dunia.

Pada 17 April 2017, rangka manusia yang lengkap dijangka berusia sekitar 5,710 tahun ditemui di tapak arkeologi ini telah membuktikan kewujudan manusia prasejarah zaman Neolitik di Semenanjung Malaysia. Zaman Neolitik merupakan peringkat akhir dalam Zaman Batu apabila berlakunya perkembangan budaya di antara manusia prasejarah.

Timbunan cangkerang yang ditemui pada awalnya di tapak ini, dipercayai merupakan cangkerang yang terbesar di Asia Tenggara. Penemuan ini dilihat sebagai penemuan yang penting berikutan timbunan cangkerang ini merupakan longgokan sampah-sarap pada zaman prasejarah yang mungkin mempunyai pelbagai jenis artifak dan juga merupakan tapak pengebumian manusia.

Dengan penemuan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang memohon untuk menjadikan Tapak Arkeologi Guar Kepah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Galeri Arkeologi Guar Kepah juga terletak di tapak ini sebagai inisiatif mempromosikan arkeologi awam di seluruh negeri bagi membolehkan komuniti melibatkan diri secara aktif untuk konservasi warisan budaya.