PENGURUSAN RISIKO BENCANA
George Town telah dipilih sebagai tapak perintis bagi menjalankan program pembangunan kapasiti pengurangan risiko bencana untuk Bandar-bandar Bersejarah di Asia Tenggara dan Pulau-Pulau Kecil di Negara Membangun di Asia Pasifik, sebuah projek oleh UNESCO Jakarta dengan kerjasama UNESCO Apia. Projek ini bertujuan meningkatkan penglibatan pihak-pihak berkepentingan dalam pengurangan risiko bencana di bandar-bandar bersejarah dan melibatkan komuniti melalui penambahbaikkan strategi pengurangan risiko bencana.
Program pertama yang dijalankan di bawah projek ini adalah Bengkel Awal Program Pembangunan Kapasiti Pengurangan Risiko Bencana untuk Bandar-bandar Bersejarah di Asia Tenggara dan Pulau-Pulau Kecil di Asia Pasifik yang telah berlangsung di George Town pada 5 dan 6 April 2017.
Disusuli dengan Bengkel Kebangsaan Penyelarasan Koordinasi bagi Melaksana Strategi Pengurangan Risiko Bencana di Bandar Bersejarah George Town pada 1 dan 2 Mac 2018 yang bertujuan untuk membangunkan strategi yang lebih efektif bagi pengurangan risiko bencana untuk George Town dengan menilai semula draf Strategi Pengurangan Risiko Bencana
Pada masa yang sama, George Town World Heritage Incorporated juga menyebarkan pengetahuan mengenai pengurusan risiko bencana ini melalui bengkel dan kempen kesedaran bagi mendidik komuniti setempat untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan cara bertindak balas secara efektif dalam kejadian bencana seperti kebakaran dan banjir.
Wakil daripada komuniti tempatan yang menetap di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town menghadiri bengkel pengurusan bencana untuk mengenal pasti risiko yang ada di sekeliling mereka secara kolektif, langkah-langkah pencegahan dan rancangan tindakan kecemasan. Bengkel dan sesi perbincangan yang dijalankan telah meningkatkan kesediaan mereka bagi menghadapi bencana, membolehkan mereka memahami dan mengenal pasti bahaya, kelemahan, faktor-faktor kemungkinan bencana dan kesan bencana di tapak.
Program Tindak Balas Kebakaran Berasaskan Komuniti untuk Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town telah dijalankan dengan kerjasama UNESCO Jakarta pada tahun 2019 untuk meningkatkan perlindungan kebakaran dan keupayaan tindak balas komuniti semasa berlakunya kecemasan. Setiap peserta akan menerima satu set alat pemadam api dan alat pengesan kebakaran yang akan diletakkan di premis masing-masing dan menjalani latihan asas memadam kebakaran serta diberikan maklumat untuk mengurangkan kebakaran.
Kit peralatan pengurangan risiko bencana dalam bentuk poster informatif juga dihasilkan sebagai salah satu usaha program pembangunan kapasiti untuk mendidik orang awam mengenai langkah-langkah pengurangan dan meningkatkan keupayaan tindak balas mereka apabila berlakunya kecemasan. Setiap poster yang disediakan terdiri dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dan boleh dimuat turun secara percuma.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan risiko bencana di George Town, sila hubungi Cik Ng Boon Nee di talian 04-261 6606 atau e-mel kepada boonnee[at]gtwhi[dot]com[dot]my.