OBJEK
Objek-objek bersejarah yang mempunyai nilai warisan budaya yang tinggi di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town memainkan peranan penting untuk membentuk sejarah bandar ini. Sebagai pengurus Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, George Town World Heritage Incorporated mengendali dan memudahcara kerja pemuliharaan objek yang telah bertahan sekian lama dan mempunyai nilai budaya yang penting serta amat bermakna kepada komuniti tempatan.
KONSERVASI KERTAS

Studio Konservasi Kertas George Town World Heritage Incorporated ditubuhkan pada tahun 2010, berperanan utama untuk membaiki dan memulihara dokumen lama atau yang rosak, seperti pelan bangunan warisan dan peta, supaya dapat dipulihkan kepada keadaan yang asal. Lebih daripada 2,500 helaian dokumen telah dibaiki pulih oleh pakar konservasi kertas kami.
Pasukan kami telah membaiki pullih pelan bangunan lama George Town dan menjalankan bengkel pemuliharaan kertas sebagai usaha pembangunan kapasiti. Kerja pemuliharaan juga merupakan rutin harian yang dijalankan di Taman Botani Pulau Pinang, seperti membaikpulih dan memelihara helaian herbarium, label, pelan taman dan dokumen.
Kami juga berhasrat untuk membantu rumah klan dan tempat beribadat bagi memulihara dokumen bersejarah mereka dan juga mengajar kaedah pemuliharaan, pengendalian dan penyimpanan dokumen.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penyelaras Studio Konservasi, Cik Annie Lee, di talian 04-261 0985 atau e-mel kepada annielee[at]gtwhi[dot]com[dot]my.
PEMULIHARAAN KAIN RENTANG ANTIK

Kain rentang antik Cina yang dihasilkan pada tahun 1900 telah dibaikpulih melalui Program Latihan Kapasiti Pemuliharaan Tekstil bagi Komuniti Tempatan yang dilancarkan pada 22 Januari 2019. Kain rentang tersebut mempunyai gambar Lapan Dewa dan perkataan Sembilan Maharaja Dewa dalam perkataan Cina yang disulam dengan benang emas. Kerja pemuliharaan dijalankan di Tokong Tow Boh Keong di Jalan Cheong Fatt Tze (Hong Kong Street).
Latihan kapasiti ini merupakan inisiatif yang pertama dalam negara yang merupakan usahasama antara George Town World Heritage Incorporated, Tokong Tow Boh Keong dan Artlab Australia iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Australia Selatan.
Program ini dipimpin oleh Pakar Konservasi Utama dari Artlab Australia, Kristin Philips untuk melatih sekumpulan ahli konservasi yang baru dengan menerapkan pengetahuan dan kemahiran mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan serta cara mengendali artifak tekstil. Bengkel pembangunan kapasiti kepada komuniti tempatan juga diadakan untuk meningkatkan pengetahuan dalam konservasi tekstil ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penyelaras Studio Konservasi, Cik Annie Lee, di talian 04-261 0985 atau e-mel kepada annielee[at]gtwhi[dot]com[dot]my.
PEMULIHARAAN OBJEK BERSEJARAH DI KOTA CORNWALLIS

George Town World Heritage Incorporated sedang memantau kerja penyelidikan dan pemuliharaan dua buah meriam dan sembilan butir peluru meriam yang ditemui di Kota Cornwallis, sebuah mercu tanda bersejarah yang popular di George Town. Kerja pemuliharaan sedang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia.
Meriam ini dipercayai berusia lebih daripada 200 tahun dan berukuran 2.2m dan 2.35m dengan symbol “GR” (George Rex) yang merupakan simbol King George III. Meriam ini dijumpai pada Februari 2018 pada kedalaman 1.2m di bahagian barat Kota Cornwallis.
Pada 26 hingga 28 Februari 2018, 9 peluru meriam telah dijumpai pada petak yang sama. Sebutir peluru meriam yang dijumpai berukuran diameter 10cm manakala yang lainnya terdiri daripada peluru kanister yang berukuran antara 3cm dan 6cm.
Pada 27 Januari 2019, sebuah meriam dan mortar yang dipercayai berusia lebih daripada 200 tahun telah dijumpai. Pasukan arkeologi Universiti Sains Malaysia akan mengendalikan kerja pemuliharaan dan analisis lanjut ke atas meriam dan mortar tersebut.