Komuniti

KOMUNITI

Selain daripada seni bina bangunan-bangunan yang menonjol, kepelbagaian warisan budaya hidup yang terdapat di George Town juga memberikan sumbangan yang penting kepada bandar bersejarah ini. George Town yang asalnya berfungsi sebagai pelabuhan perdagangan telah menarik pedagang-pedagang dari Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, India dan China. Mereka yang datang dari pelbagai latar belakang budaya telah menetap di George Town dan telah mewujudkan komuniti yang berbilang budaya.

Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town masih memiliki kepelbagaian masyarakat, sebagai contoh komuniti-komuniti yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India, Cina Peranakan (Baba dan Nyonya), Jawi Peranakan, Arab-Melayu dan Serani dengan mengamalkan adat resam, tradisi budaya, kepercayaan agama masing-masing. Kepelbagaian budaya warisan hidup ini menjadikan Tapak Warisan Dunia ini unik dan dinamik.

WARISAN BUDAYA TIDAK KETARA

Juga dikenali sebagai warisan hidup atau budaya hidup. Warisan budaya tidak ketara merujuk kepada amalan, penyampaian, ekspresi, pengetahuan dan kemahiran yang diwarisi secara turun-temurun.

Warisan budaya yang tidak ketara adalah diwujudkan, dikekalkan, dan diwarisi di kalangan komuniti dan kita perlu mengenali dan mempromosikan kepentingan warisan budaya dari Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, yang merupakan pautan penting kepada keunikan dan integriti Nilai-Nilai Keunggulan Sejagat tapak. Pemuliharaan warisan budaya hidup memerlukan penyertaan dari kalangan komuniti yang mempunyai aset budaya yang istimewa dan bermakna, atau pihak yang mempunyai tanggungjawab sosial, rohani atau yang mempunyai tanggungjawab kebudayaan lain dalam aset budaya.

George Town World Heritage Incorporated melaksana inventori aset warisan budaya tidak ketara dan menyelaras kerja-kerja pemetaan serta menjalankan bengkel pembinaan kapasiti untuk meningkatkan pengetahuan dan kapasiti komuniti dalam pemuliharaan warisan budaya tidak ketara mereka.

Inventori warisan kebudayaan tidak ketara telah dimulakan pada tahun 2012 untuk mengenal pasti dan mendokumenkan perniagaan tradisi, tukang-tukang kraf dan pengamal-pengamal budaya di George Town. Projek ini merupakan hasil daripada tinjauan pintu ke pintu lebih dari 5,000 premis, diikuti dengan 20 sampel kajian kes untuk didokumentasi secara mendalam dan pengenalan awal terhadap ancaman kepada kelangsungan kebudayaan ini.

Pada tahun 2019, inisiatif untuk inventori warisan budaya tidak ketara berasaskan komuniti telah dijalankan dengan penyertaan komuniti setempat untuk menyenaraikan secara terperinci upacara-upacara dan acara perayaan di George Town. Ia merupakan projek perintis dengan kerjasama UNESCO.

SAMBUTAN HARI WARISAN

GEORGE TOWN

George Town World Heritage Incorporated menganjurkan Perayaan Warisan George Town pada setiap tahun dengan tema yang berbeza. Pelbagai bengkel melibatkan komuniti dan aktiviti dijalankan untuk menonjolkan warisan budaya tidak ketara di George Town. Para pengunjung juga berpeluang untuk memahami dan menyelami amalan beragama di George Town dengan menyertai lawatan ke rumah-rumah ibadat yang juga merupakan antara program perayaan warisan ini.

Melalui perayaan tahunan yang penuh makna ini, komuniti tempatan berpeluang untuk berkongsi budaya dan tradisi mereka kepada ribuan pengunjung dari seluruh dunia bagi mengalami kepelbagaian budaya di George Town. Ia merupakan pengalaman yang unik bagi kebanyakan pengunjung yang berpeluang menyelami adat tradisi tempatan kami.

Penglibatan komuniti tempatan dan sukarelawan dalam Perayaan Warisan juga penting untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan memulihara warisan budaya tidak ketara di George Town.

Lihat Perayaan Warisan George Town.

PEMBUAT KRAF DAN PENGAMAL SENI TEMPATAN

Wira sebenar di sebalik warisan budaya tidak ketara adalah peniaga-peniaga dan tukang-tukang kraf yang sejak berdekad lalu telah mendedikasikan masa dan titik peluh mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti tempatan dan pelancong.

Bagi mendokumenkan kehidupan dan amalan mereka, George Town World Heritage Incorporated telah melantik Image Farm Productions untuk melaksanakan projek dokumentasi video warisan tidak ketara sejak tahun 2015 hingga tahun 2017 untuk merakam dan menfilemkan kehidupan harian, amalan dan persekitaran 15 orang tukang kraf dan pengamal seni di George Town. Dokumentasi video ini telah disiarkan untuk tontonan awam di Majestic Theatre pada 1 April 2018.

Antara tukang dan pengamal seni yang dirakam dalam dokumentasi video ini adalah tukang membaiki jam, tukang sadur elektrik, pakar optometri, tukang membuat barangan kanvas dan kulit, penganyam kraf rotan, tukang pembuat beca, tukang pembuat colok, tukang jahit, tukang pembuat mahjung, tukang kasut, tukang songkok, tukang emas, pengusaha dobi tradisional, tabib perubatan tradisional Cina dan penerbit kitab Al-Quran. Dokumentasi video-video ini juga boleh diakses di Pusat Interpretasi George Town World Heritage Incorporated.

Lihat Tukang Tradisional.

SEJARAH LISAN

Komuniti mempunyai pelbagai pengalaman untuk diceritakan, terutamanya mereka yang menyaksikan hiruk-pikuk masa lampau. Sejarah lisan dilihat sebagai kaedah yang berkesan untuk menceritakan kenangan yang belum diceritakan dan cerita-cerita pada masa lampau. Bagi memulihara warisan kami, George Town World Heritage Incorporated telah memulakan projek Dokumentasi Sejarah Lisan pada tahun 2013 untuk mengumpulkan cerita-cerita orang kebanyakan di George Town.

Tujuan projek ini adalah untuk memperbaiki proses penyelidikan dan sejarah rakaman, melatih bakal ahli dokumentasi dan memperluas sumber rujukan di Pusat Sumber kami. Latihan awalan telah dijalankan dengan kerjasama Arkib Negara Singapura.

Lebuh Chulia telah dipilih sebagai lokasi bagi fasa pertama projek untuk merakamkan kenangan-kenangan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut pada zaman selepas perang antara tahun 1945 hingga 1970.

Dalam tempoh empat tahun dari tahun 2013 hingga 2016, lebih daripada 100 buah cerita telah didokumenkan. Rakaman audio dapat diakses di Pusat Interpretasi George Town World Heritage Incorporated.

Lihat Sejarah Lisan