PROJEK DOKUMENTASI SEJARAH LISAN
Sebagai usaha memulihara warisan, George Town World Heritage Incorporated telah menyiapkan projek perintis Dokumentasi Sejarah Lisan pada tahun 2013 dan kemudiannya memulakan projek dokumentasi yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2014 hingga 2016. Tujuan projek ini adalah untuk menambahkan sumber sejarah dan sumber rujukan yang sedia ada dan memperbaiki cara kami untuk mendokumentasi sejarah tempatan dan warisan.
Pada tahun 2012, Festival George Town telah melaksanakan satu program ‘The Living Museum’ atau ‘Muzium Hidup’ untuk menyampaikan dan mempamerkan cerita-cerita penduduk yang telah lama tinggal di George Town, terutamanya penduduk yang tinggal di Lebuh Armenian, Lebuh Acheh dan Lebuh Cannon.
Pada tahun 2013, Projek Dokumentasi Sejarah Lisan dimulakan dengan mengumpulkan sejarah lisan yang memfokuskan kepada kenangan-kenangan penduduk di Lebuh Chulia tentang zaman selepas perang antara tahun 1945 hingga 1970. Projek ini telah berjaya membentuk sekumpulan penemu ramah tempatan yang menggunakan peralatan rakaman profesional untuk menjalankan sesi temu duga atau rakaman berdasarkan model yang dibangunkan oleh Pusat Sejarah Lisan, Arkib Negara Singapura dan menyesuaikannya mengikut konteks tempatan.
George Town World Heritage Incorporated meneruskan lagi usaha merakamkan sejarah lisan daripada komuniti tempatan dan organisasi-organisasi pada tahun 2017 dan 2018, dan mewujudkan platform atas talian sebagai alat penyebaran maklumat. Dengan Projek Dokumentasi Sejarah Lisan ini, kami berharap dapat memperbaiki proses penyelidikan dan sejarah rakaman di samping mengasah bakat-bakat dalam bidang pendokumentasian.
Sesiapa yang berminat untuk mendengar rakaman audio sejarah lisan di Pusat Interpretasi boleh membuat temu janji dengan mengisikan borang ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penolong Pegawai Pengurusan Maklumat, Cik Nur Hidayah binti Jaafar di talian 04-261 6606 atau e-mel kepada hidayah[at]gtwhi[dot]com[dot]my.