SAMBUTAN HARI WARISAN GEORGE TOWN
Sambutan Hari Warisan George Town adalah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh George Town World Heritage Incorporated bagi memperingati hari pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008. Ia menampilkan program – program interaktif dan berilmiah seperti bengkel – bengkel dan persembahan yang diadakan di jalanan sekitar kawasan tapak warisan dunia.
Dianjurkan sejak tahun 2009, tema sambutan ini saban tahun memberi tumpuan kepada warisan budaya tidak ketara yang berbeza bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang warisan budaya dan tradisi kita. Melalui sambutan ini, masyarakat tempatan berkumpul untuk meraikan dan mempamerkan amalan budaya, persembahan, makanan dan kraf mereka sendiri.
Dengan sokongan dan komitmen berterusan dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sambutan ini kekal menjadi satu acara yang dinanti-nantikan bukan sahaja pengunjung tempatan tetapi juga pengunjung dari luar negara yang akan berpeluang untuk menyelami tradisi dan budaya George Town yang masih hidup. Acara ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan menjaga Nilai Keunggulan Sejagat George Town untuk generasi akan datang.
2024 – GEORGE TOWN HERITAGE CELEBRATIONS |
Acara tahunan yang sangat dinantikan, Perayaan Hari Warisan George Town (GTHC) akan kembali untuk edisi ke-16 tahun ini dengan pelbagai program bagi menyambut pengunjung menjadi sebahagian daripada perayaan ini bagi meraikan pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
GTHC menawarkan pengalaman yang meriah dan mendalam yang membawa pengunjung melalui masa, budaya, dan tradisi. Ia menonjolkan kawasan warisan yang kaya dan pelbagai di Pulau Pinang sambil mempromosikan pemeliharaan legasi sejarahnya yang unik.
Pengunjung festival dan pelawat boleh menjangkakan pelbagai persembahan budaya yang mencerminkan warisan pelbagai kaum di bandar ini. Tarian tradisional dan persembahan muzik dengan pengaruh daripada pelbagai latar etnik disediakan untuk memberikan pengalaman yang menarik kepada pengunjungnya.
Acara mesra keluarga ini juga akan dipenuhi dengan demonstrasi langsung tentang kraf dan kemahiran tradisional untuk memberikan pengalaman praktikal kepada pengunjung dari semua peringkat umur mengenai tradisi kraf tempatan. Melalui pengalaman praktikal ini, pengunjung akan diberikan peluang untuk mempelajari lebih lanjut mengenai bahan dan teknik yang digunakan, konteks budaya serta dedikasi yang diperlukan untuk menguasai kemahiran ini yang akhirnya akan memupuk hubungan antara pengunjung dan warisan budaya komuniti.
George Town Discovery Walk juga akan dijalankan pada 7 Julai 2024 yang membolehkan peserta berjalan-jalan di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, sambil menikmati keindahan pemandangan bandar warisan ini bersama orang tersayang.
Untuk maklumat lanjut, ‘like’ dan ikuti laman George Town World Heritage Incorporated di Facebook dan Instagram.
Muat turun poster program (Bahasa Inggeris | Bahasa Melayu | Bahasa Cina | Bahasa Tamil)
2023 – GEORGE TOWN HERITAGE CELEBRATIONS |
Perayaan Hari Warisan George Town (GTHC) kembali tahun ini untuk memperingati ulang tahun ke-15 pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Didorong oleh usaha kolektif komuniti setempat, Perayaan ini memberikan gambaran tentang warisan budaya yang kaya di George Town dan membolehkan seseorang merasai keharmonian yang wujud di bandar warisan yang hidup ini.
Sejak perasmiannya, Perayaan ini telah menjadi tarikan utama bagi penduduk tempatan dan pelancong. Acara tahunan ini telah menunjukkan pemahaman dan meningkatkan penghargaan kami terhadap bandar bersejarah George Town, serta komuniti-komunitinya yang telah menyumbang kepada fabrik sosial pelbagai budaya kita yang bertenaga.
Acara yang diketengahkan untuk edisi GTHC 2023 termasuk George Town Discovery Walk pada 7 Julai 2023 (Pagi), Bengkel Warisan Budaya George Town pada 7 Julai 2023 (Petang), dan Permainan Interaktif Warisan Budaya George Town pada 9 Julai 2023.
Untuk maklumat lanjut, ‘like’ dan ikuti laman George Town World Heritage Incorporated di Facebook dan Instagram.
Muat turun poster program (Bahasa Inggeris | Bahasa Melayu | Bahasa Cina | Bahasa Tamil)
2022 – SAMBUTAN HARI WARISAN GEORGE TOWN |
Sambutan Hari Warisan George Town 2022 kembali lagi dengan lebih banyak program menarik yang dijadualkan berlangsung pada 2, 3 dan 7 Julai 2022 bagi meraikan ulang tahun ke-14 pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sambutan tahun ini akan menampilkan 20 persembahan kebudayaan, 9 bengkel kebudayaan dan 8 filem dokumentari mini yang menonjolkan kepentingan seni, budaya dan warisan.
Poster program ini tersedia dalam bentuk PDF dalam 4 bahasa di bawah. Muat turun segera kerana kami sudah tidak sabar lagi untuk bertemu dengan anda semua.
Untuk maklumat lanjut, ‘Like’ dan ikuti George Town World Heritage Incorporated di Facebook dan Instagram.
Muat turun poster program (Bahasa Inggeris | Bahasa Melayu | Bahasa Cina | Bahasa Tamil)
2019 | – | LET’S CELEBRATE – AMALAN, UPACARA, PERAYAAN |
Perayaan Warisan pada tahun ini akan menyambut ulang tahun ke-11 Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town pada 6 – 8 Julai 2019 dengan bertemakan ‘Let’s Celebrate – Amalan, Upacara dan Perayaan’. Kandungan program tahun ini menekankan kepada kepentingan dan pewarisan upacara dan perayaan di George Town kerana ia merupakan warisan hidup yang memaparkan kepelbagaian dan keindahan komuniti kami. Para pengunjung perayaan ini berpeluang untuk menghayati upacara dan pelbagai perayaan yang berbeza melalui bengkel interaktif, pertunjukan dan lawatan tapak.
Projek Inventori Warisan Budaya Tidak Ketara berasaskan Komuniti di George Town telah memainkan peranan dalam pembangunan kapasiti komuniti untuk melengkapi komuniti tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran bagi pengenalpasti serta mendokumentasikan elemen-elemen warisan budaya. Hasil daripada projek inventori ini akan dipamerkan dalam perayaan ini bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan memulihara warisan budaya kami di samping menggalakkan sokongan bersama untuk memastikan warisan budaya diwariskan kepada generasi yang akan datang.
2018 | – | POTENTIAL – DARI KISAH SILAM, UNTUK MASA KINI, DEMI MASA HADAPAN |
Tahun 2018 menandakan tahun ke-10 pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dengan tema ‘POTENTIAL – Dari Kisah Silam, Untuk Masa Kini, Demi Masa Hadapan’ meneroka potensi George Town dalam bergerak maju berdasarkan kisah lampau dan pengalaman masa kini. POTENSI juga mengandungi perkataan ‘ten’ yang melambangkan ulang tahun ke-10 Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Diadakan pada 7 Julai 2018, Festival Jalanan menampilkan 25 bengkel komuniti yang terdiri daripada empat bahagian – Perayaan Kemakmuran (perayaan dan upacara), Kraf Tangan, Keenakan Rasa (makanan kebudayaan) dan Aktiviti Masa Lapang (permainan dan hiburan), serta persembahan tradisional yang disertai oleh pengunjung perayaan. Lawatan tapak warisan ke lapan buah rumah ibadat juga dianjurkan pada hujung minggu di bulan Julai 2018.
2017 | – | WALK THE TALK: TRADISI LISAN DAN EKSPRESI |
Perayaan ulang tahun kesembilan bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town telah diadakan dari 7 hingga 9 Julai 2017 dengan tema ‘Walk the Talk: Tradisi Lisan dan Ekspresi’. 16 komuniti dan 14 rakan persembahan yang turut mengambil bahagian dan berkongsi tradisi dan cerita, serta tradisi lisan seperti peribahasa, epik, jampi, doa, persembahan dramatik dan kisah-kisah rakyat.
Pengunjung perayaan diperkenalkan dengan kisah-kisah unik masyarakat melalui sesi bercerita, pertunjukan kebudayaan dan belajar menulis dalam skrip kuno. Program yang dijalankan berdasarkan empat elemen ekspresi – Baca, Menyanyi, Bercakap dan Menulis, termasuklah jejak warisan, lawatan tapak dan permainan warisan berinteraktif yang dinamakan sebagai ‘The Forgotten Memoirs’.
2016 | – | MAI MAIN: SUKAN DAN PERMAINAN TRADISI |
Bertemakan ‘Mai Main: Sukan dan Permainan Tradisi’ (Mai Main bermaksud Mari Bermain!), George Town mengembalikan kenangan lama melalui Perayaan Warisan George Town 2016, dengan bermain sukan dan permainan tradisional di jalanan seperti pada zaman dahulu seperti ‘batu tujuh’, ‘kali toi’ dan tingting.
Diadakan dari 7 hingga 9 Julai 2016, Perayaan ini menandakan ulang tahun kelapan pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak dalam kalangan orang dewasa dan mendedahkan keseronokan era ibu bapa mereka kepada generasi muda.
Sebelas sukan tradisional dan 23 permainan tradisional telah ditonjolkan dalam Perayaan ini melalui kelas pengenalan asas, forum, festival jalanan, bengkel, demonstrasi, dan permainan gelanggang terbuka.
2015 | – | SAJIAN PERAYAAN: HIDANGAN TRADISI GEORGE TOWN |
Diadakan dari 4 hingga 7 Julai 2015, Perayaan Warisan George Town 2015 menarik minat pencinta makanan dan kebudayaan bagi menandakan ulang tahun ketujuh pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dengan tema ‘Sajian Perayaan: Hidangan Warisan George Town’, perayaan ini dapat menonjolkan aktiviti kemasyarakatan, kelas masakan, dan bengkel penyediaan makanan perayaan.
Perayaan tahun ini menyerlahkan warisan bandar yang unik dengan memfokuskan makanan istimewa yang dihidangkan untuk meraikan perayaan dan upacara tradisional. Lebih daripada sekadar sumber nutrien, makanan ini mempunyai kepentingan dan lambang kepercayaan serta harapan yang dikongsi oleh komuniti setempat.
2014 | – | LIVING LEGACIES |
Buat pertama kali Perayaan ini bertemakan kebudayaan, dengan ‘Living Legacies‘ sebagai tema untuk menyerlahkan kepentingan warisan tidak ketara bandar warisan seperti kraftangan tradisional dan tempat ibadat yang menandakan hubungan keharmonian dari segi budaya, bangsa dan agama yang berbeza.
Diadakan selama dua hari pada 6 dan 7 Julai 2014, perayaan ini menyambut ulang tahun keenam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, dengan penganjuran bengkel kraf, makanan tradisional, jejak warisan, bual bicara, tayangan filem dan rumah terbuka.
2013 | – | COLOUR, CULTURE, TRADITION |
Perayaan ulang tahun kelima Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town telah diadakan pada 6 dan 7 Julai 2013. Tema ‘Colour, Culture, Tradition’ dipilih untuk mencerminkan kepelbagaian warisan etnik, budaya dan warisan tradisional yang unik di George Town.
Lebih daripada 40 aktiviti telah diadakan pada hujung minggu berkenaan, dengan penglibatan lebih daripada 20 kumpulan komuniti dan persatuan dalam persembahan kebudayaan, seperti boria, wayang gedek, pantun Peranakan Baba, tarian Menora dan pertunjukan boneka. Selain seni tampal sulam yang dipilih sebagai motif reka bentuk dan hiasan acara, perayaan ini menampilkan jejak warisan, seni dan kraf tradisional serta masakan tempatan.
2012 | – | WARISAN HIDUP |
Perayaan bertemakan Warisan Hidup (Live Heritage) diadakan dari 6 hingga 8 Julai 2012 sebagai sebahagian daripada George Town Festival, meraikan ulang tahun keempat pengisytiharan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Lebih daripada 40 persembahan kebudayaan dan pameran dari masyarakat setempat, rumah terbuka ke tapak warisan dan rumah bersejarah, ceramah mengenai sejarah dan budaya, pameran seni dan kraf, bazar makanan dan pameran jalanan berasaskan komuniti telah dijalankan sempena perayaan ini. Festival berskala mini yang dinamakan ‘Heritage Heboh’ juga diadakan khas untuk golongan remaja.
Antara acara kemuncak ialah program Muzium Kehidupan, iaitu lawatan ke rumah-rumah penduduk tempatan, manakala Pameran Jalanan berasaskan Komuniti juga membolehkan pengunjung mendengar cerita secara langsung dari pedagang dan peniaga tempatan dan sekilas lalu melihat kehidupan mereka melalui gambar-gambar lama.
2011 | – | DEWANGGA BUDAYA |
Sambutan ulang tahun ketiga Perayaan Warisan George Town diadakan selama tiga hari dari 7 hingga 9 Julai 2011 dengan tema ‘Dewangga Budaya (Tapestry of Culture)’. Tema perayaan ini berdasarkan tiga kriteria dalam Nilai Keunggulan Sejagat George Town, dengan setiap hari sambutan mengikut setiap kriteria – warisan ketara dan tidak ketara, pertukaran kepelbagaian budaya dan seni bina landskap.
Ia memaparkan persembahan berunsurkan pelbagai budaya masyarakat setempat, rumah terbuka di bangunan warisan awam dan persendirian, pertunjukan kebudayaan dan muzik, pameran, makanan tradisional dan bazar kraf tradisional, ceramah awam dan demonstrasi, jejaki rumah kedai, Muzium Kehidupan – sebuah program yang berkongsi kenangan dan cerita daripada enam buah keluarga di George Town, serta lawatan ke tapak perkuburan.
2010 | – | STREETS COME ALIVE – UNFORGETTABLE GEORGE TOWN |
Festival jalanan yang diadakan pada 7 Julai 2010 merupakan sebahagian daripada George Town Festival 2010 yang meraikan ulang tahun kedua bagi penyenaraian George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tema tahun tersebut adalah Streets Come Alive – Unforgettable George Town yang mempamerkan budaya, muzik dan makanan melalui pertunjukan jalanan serta pertukaran budaya di bandar George Town.
Selain daripada rumah terbuka yang diadakan di Kota Cornwallis, Hotel E&O dan Muzium Islam Pulau Pinang, kebanyakan tapak dan tempat menarik di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town juga dibuka secara percuma kepada orang awam. Turut dipamerkan ialah makanan tradisional, kesenian dan demonstrasi kraf tangan, lawatan ke rumah-rumah ibadat dan persembahan kebudayaan.
2009 | – | 1 WARISAN |
Ulang tahun pertama Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town disambut selama sebulan dari 3 hingga 26 Julai 2009. Pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya makanan, kraf tangan, kesenian dan muzik perayaan, gerai-gerai makanan dan demonstrasi kraf tangan, pertunjukan opera Teochew, pertunjukan jalanan pelbagai budaya, lawatan ke tapak warisan, perkhidmatan bot percuma dan pameran. Program ini bertujuan sebagai platform untuk menerokai identiti yang dikongsi bersama komuniti tempatan di George Town, mengenai apakah George Town serta bagaimana komuniti tempatan yang tinggal dan bekerja di sini mentakrifkan bandar ini.
2008 |
Perayaan Warisan George Town telah berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 Julai 2008 sempena pengisytiharan bersama Melaka dan George Town: Bandar Bersejarah di Selat Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bagi meraikan status baru bandar George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah berjalan-jalan menjelajah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, persembahan kebudayaan, hiasan kolam, rumah terbuka di jeti-jeti klan, persembahan Boria, permainan tradisional, pameran dan pertunjukan bunga api.