PEMULIHARAAN WARISAN
Usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya kita masih berterusan dan giat dijalankan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town bagi memastikan Nilai Keunggulan Sejagat dipulihara dan diwariskan kepada generasi yang akan datang, dan pada masa yang sama turut menyumbang kepada pembangunan mampan dari aspek sosial dan ekonomi di Tapak Warisan Dunia ini.
Bagi mencapai matlamat ini, George Town World Heritage Incorporated membantu untuk memahami kerja-kerja pemuliharaan, di samping mendidik dan menggalakkan komuniti tempatan melibatkan diri dalam aktiviti pemuliharaan.
BAGAIMANA UNTUK MEMULIHARA WARISAN SENI BINA?

Warisan seni bina di George Town, termasuk nilai dari segi estetik, cara binaan, reka bentuk, sains bahan binaan dan lanskap jalanannya memberi gambaran mengenai sejarah kita. Nilai warisan seni bina akan terjejas jika kepentingan warisan seni bina yang istimewa ini digantikan atau diabaikan. Rumah kedai di Pulau Pinang kaya dengan nilai warisan, justeru adalah penting untuk menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai dan betul semasa kerja-kerja pemeliharaan.
Terdapat lima perkara yang perlu dipertimbangkan apabila menjalankan kerja pemuliharaan bangunan warisan:
CIRI-CIRI SEJARAH
Ketahui bangunan rumah kedai anda berasal dari garis masa sejarah yang mana melalui gaya seni bina yang ada untuk mengembalikan ciri-ciri asal seni bina bangunan warisan.
BENTUK SENI BINA
Memahami kegunaan pemisah dan ruang awam, fungsi kaki lima, telaga udara dan balkoni di bahagian belakang yang berkait dengan feng shui.
SEJARAH SENI BINA
Ketahui bagaimana kepelbagaian budaya mempengaruhi falsafah dan estetik struktur rumah kedai, reka bentuk dan ciri hiasan.
BAHAN-BAHAN TRADISIONAL
Mempelajari fakta-fakta saintifik mengenai bahan binaan tradisional (kayu, batu, tanah liat dan kapur) dan sebab bahan-bahan ini sesuai digunakan dalam konteks persekitaran George Town.
KAEDAH PEMBINAAN TRADISIONAL
Kenali kaedah binaan tradisional dan kemahiran kemasan hiasan rumah kedai Pulau Pinang.
BENGKEL PEMULIHARAAN WARISAN KETARA

Pendidikan dan maklumat serta pemahaman dan penghargaan terhadap Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah sangat mustahak bagi pengurusan pemuliharaan tapak warisan dunia ini yang memiliki lebih daripada 5,000 buah bangunan.
Bagi memastikan bangunan-bangunan warisan dipulihara dan dibaikpulih dengan cara yang dapat menjaga ketulenannya, George Town World Heritage Incorporated telah menjalankan program pembangunan kapasiti seperti Bengkel Warisan Ketara untuk memperluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perancangan, pembangunan, pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Bengkel-bengkel seperti Bengkel Pemuliharaan Warisan yang terbahagi kepada peringkat pengenalan, pertengahan dan lanjutan di samping Bengkel Penilaian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment) dijalankan untuk meningkatkan kesedaran awam dalam pemuliharaan bangunan warisan dan Nilai Keunggulan Sejagat tapak.
Bengkel Pemuliharaan Warisan akan melengkapi para peserta dengan pengetahuan mengenai kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan bangunan warisan terutamanya di tapak warisan dunia, prinsip pemuliharaan, penerangan semasa peringkat teknikal termasuklah keperluan dan garis panduan dari pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan.
Melalui Bengkel Penilaian Impak Warisan, wakil daripada agensi kerajaan, pemilik hartanah persendirian, arkitek, jurutera bangunan dan juru ukur bahan akan diperkenalkan mengenai laporan Penilaian Impak Warisan yang memperincikan impak terhadap tapak pembangunan, pemuliharaan dan pengubahsuaian. Para peserta juga boleh mempelajari prosedur yang diperlukan bagi menghasilkan laporan penilaian yang komprehensif dan berkualiti tinggi.
Untuk maklumat lanjut, hubungi En. Muhammad Hijas Sahari melalui emel hijas[at]gtwhi[dot]com[dot]my