RUMAH KEDAI
Rumah kedai merupakan jenis bangunan yang dominan yang membentuk warisan seni bina di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Terdapat lebih daripada 4,000 buah rumah kedai di tapak warisan dunia, yang kebanyakannya mempunyai ketinggian dua dan tiga tingkat serta berkongsi ciri-ciri yang sama. George Town juga mempunyai bilangan rumah kedai yang terbanyak di Asia Tenggara. Kebanyakan bangunan rumah kedai ini dibina dalam barisan dengan dinding pemisah yang dikongsi bersama. Rumah kedai juga digunakan sebagai tempat kediaman keluarga, kedai dan premis komersial.
Rumah kedai mempunyai ciri-ciri seni bina bandar di Asia dari abad ke-18 hingga abad ke-20. Gaya seni bina yang awal adalah gabungan daripada pertembungan nilai-nilai silang budaya, idea-idea, tradisi luar pendatang dan pertukangan tempatan, serta penyesuaian dengan bahan-bahan binaan yang sedia ada, kemahiran, pengangkutan dan iklim tropika.
Rumah kedai di Pulau Pinang bersaiz panjang dan sempit, dengan saiz lebar antara 12 hingga 18 kaki, panjang antara 60 hingga 140 kaki. Saiz rumah kedai yang lebih panjang mempunyai dua atau tiga bumbung curam, di mana setiap bumbung akan dipisahkan dengan telaga udara untuk pengudaraan.
Rumah kedai disusun secara deretan atau blok. Setiap blok dikelilingi dengan sebatang jalan utama (di depan), lorong sisi dan lorong belakang. Setiap unit rumah kedai dalam deretan dihubungkan dengan kaki lima yang berfungsi sebagai perlindungan daripada cuaca tropika.
APAKAH ITU
RUMAH KEDAI ?
Dengan reka bentuk yang ringkas, kebanyakan rumah kedai menggunakan bata tanah liat yang dibakar lembut sebagai bahan binaan utama. Dinding bata tebal yang berfungsi untuk menghalang cahaya matahari tengah hari terik, dinding dari bahan lepaan kapur dan lantai terracotta memberikan kelembapan, manakala bidai ram melindungi daripada terik cahaya matahari yang membolehkan pengudaraan keluar masuk.
Rumah kedai terawal adalah bersaiz kecil dan terdiri daripada satu bumbung curam dengan dapur di bahagian belakang iaitu di tingkat bawah teres setingkat, dan terdapat telaga udara terbuka yang turut berfungsi mengeluarkan haba dari dapur arang. Apabila lebih banyak tanah dibuka dan kekayaan semakin bertambah, keperluan pemilik turut meningkat, saiz rumah kedai mula menjadi lebih panjang, setiap bumbung curam dipisahkan dengan telaga udara untuk membantu menyejukkan bangunan. Rumah kedai asalnya dibina dan digunakan oleh pendatang India dan kemudiannya Cina, yang membawa pengaruh dari negara asal mereka.
Menjelang tahun 1900-an, arkitek dan jurutera profesional dari Eropah mula berhijrah ke Pulau Pinang dengan membawa bersama teknologi baru dan pengaruh bentuk bangunan dari seni bina Barat.
Pemilik rumah kedai tradisional mula menukar kepada gaya moden dan merekabentuk semula fakad bangunan dengan gaya yang terkini, manakala hierarki penggunaan ruang dalam rumah kedai masih kekal.
CIRI-CIRI RUMAH KEDAI
Ciri-ciri rumah kedai tipikal adalah:
- Berhadapan dengan jalan
- Dibina secara deretan dan bersebelahan di sepanjang jalan, tanpa jurang atau ruang di antara rumah
- Mempunyai dinding pemisah yang memisahkan antara dua belah bahagian rumah kedai
- Binaan rendah yang mempunyai dua atau tiga tingkat
- Panjang dan sempit, dibahagikan dengan telaga udara
- Mempunyai kaki lima
- Digunakan untuk pelbagai fungsi dengan menggabungkan kegunaan kediaman dan komersil
- Tingkat bawah biasanya digunakan untuk perniagaan dan perdagangan
- Pemilik rumah tinggal di tingkat atas
- Fakad berhias
- Warna fakad ialah putih pudar, biru nila, kuning tanah, biru muda, kuning terang dan lain-lain
- Hiasan fakad dipengaruhi dari tradisi Melayu, Cina dan Eropah
ENAM GAYA SENI BINA UTAMA RUMAH KEDAI DI PULAU PINANG
Terdapat enam tipologi seni bina rumah kedai yang utama di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan setiap satunya mempunyai tipologi seni bina yang unik dengan ciri-ciri hiasan yang mencerminkan sejarah George Town pada tempoh yang berbeza.
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Satu atau dua tingkat dengan laluan kaki lima
- Seni bina ringkas dan rendah
- Lepaan kapur pada dinding bata dan struktur tiang
- Tiang-tiang bersegi empat sebagai asas sokongan kepada struktur rasuk dan kasau mengikut cerun bumbung sehingga ke cucur atap.
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Dua atau kadang-kala tiga tingkat dengan laluan kaki lima
- Lebih tinggi daripada seni bina rumah kedai Awal Pulau Pinang, seni bina ringkas
- Dinding bata dan tiang-tiang penyokong diselaputi dengan lepaan kapur
- Tiang-tiang bersegi empat dengan penghujungnya terdapat braket pada bahagian kepala tiang yang bercirikan seni bina dari China.
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Dua atau kadang-kala tiga tingkat dengan laluan kaki lima
- Mempunyai ketinggian yang sama dengan seni bina rumah kedai Gaya Eklektik Cina Selatan dengan percampuran seni bina dari China dan Eropah
- Dinding bata dan tiang-tiang penyokong diselaputi dengan lepaan kapur
- Tiang-tiang bersegi empat dengan penghujungnya terdapat braket pada bahagian kepala tiang bercirikan seni bina dari China dan kemudiannya dari Eropah
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Dua atau kadang-kala tiga tingkat dengan laluan kaki lima dan kadang-kala mempunyai ruang taman
- Biasanya lebih rendah, menggunakan gabungan seni bina dari China dan Eropah
- Menggunakan lepaan kapur pada struktur dinding bata dan tiang-tiang penyokong, atau struktur konkrit bertetulang (RC)
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Dua tingkat dengan laluan kaki lima dan ruang taman bagi kediaman
- Ketinggian yang sama dengan rumah kedai Gaya Lewat Eklektik Selat. Seni bina yang dipermudahkan dengan hanya menekankan corak mendatar atau menegak.
- Kemasan lepaan Shanghai di atas konkrit bertetulang (RC) pembinaan rasuk dan tiang dengan isian simen atau bata tanah liat.
- Tiang-tiang dan struktur rasuk diberi penekanan semula dan dibangunkan sebagai fakad kedai
Ciri-ciri Umum dan Struktur:
- Dua tingkat untuk rumah kedai individu, tiga tingkat untuk rumah kedai sudut tepi, dan juga untuk deretan rumah yang direka seperti sebuah bangunan dengan kegunaan bercampur antara komersil dan kediaman
- Sama saiz seperti rumah kedai Gaya Seni Dekorasi yang dipermudahkan, iaitu ciri jalur-jalur lurus seperti kanopi dan sirip peneduh.
- Menggunakan kemasan lepaan kapur atau simen pada struktur rasuk dan tiang konkrit bertetulang (RC) dengan isian simen atau bata tanah liat
- Menggabungkan reka bentuk fakad dan struktur
- Laluan kaki lima kadang-kala tanpa memerlukan sokongan tiang-tiang (juluran lantai atas)
Rumah kedai-rumah kedai ini kekal seperti fungsi asalnya, iaitu sebagai ruang perniagaan dan kediaman. Kebanyakan rumah kedai ini masih dalam keadaan yang baik.
LALUAN KAKI LIMA

Laluan kaki lima rumah kedai merupakan laluan awam yang berfungsi sebagai teduhan, memberi perlindungan daripada panas matahari dan hujan. Laluan kaki lima adalah ciri penting landskap jalan yang masih wujud di George Town. Walau bagaimanapun, kebanyakan laluan kaki lima dihalang atau disekat dengan barangan kedai, sekatan fizikal dan motosikal.
Nota: Maklumat halaman ini dihasilkan melalui usaha kerjasama antara Persatuan Pendidikan Pulau Pinang (Arts-ED), George Town World Heritage Incorporated dan Cultural Heritage Action Team.